Hubungan cinta bini orang dan ayah angkat berakhir dalam tandas | Susulan penemuan mayat wanita berumur 21 tahun di bilik mandi di sebuah gereja di wilayah Sumatera Utara, Indonesia, Khamis lalu, motif kejadian dipercayai berpunca dari rasa cemburu suspek terhadap mangsa yang sudah mempunyai teman lelaki lain, lapor Tribun News.
Difahamkan, mangsa, Rosalia Cici Mareteni Siahaan, 21, menjalinkan cinta terlarang dengan paderi Gereja Sidang Roh Kudus Indonesia (GSRI), Henderson Sembiring, yang juga ayah angkatnya lebih empat tahun.
Menurut pegawai polis AKP Ruzi Gusman, suspek yang sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak itu, telah menjalinkan hubungan asrama dengan mangsa selama empat tahun.
“Kita belum tahu sama ada mangsa diperkosa atau tidak semasa kejadian itu berlaku kerana mereka sudah pernah mengadakan hubungan bersama selama empat tahun. Tetapi kita masih menyiasat keterangan suspek,” kata Ruzi yang juga masih menunggu keputusan laporan bedah siasat.
Polis percaya, kejadian itu berlaku kerana suspek berang dengan kata-kata kasar yang diucapkan oleh mangsa, lalu hilang pertimbangan dan terus menyerang mangsa. Polis juga tidak menolak motif cemburu kerana mangsa dikatakan sudah mempunyai teman lelaki.
Ketika suspek disoal siasat, suspek sering meminta pegawai penyiasat tidak meninggalkannya bersendirian dalam bilik siasatan.
“Dia ketakutan. Kalau ditinggal sebentar oleh penyiasat, dia kata “Encik, encik, jangan pergi dulu. Duduk di sini sajalah, tolonglah saya”. Kita juga tidak tahu kenapa dia berkelakuan seperti itu, Mungkin kerana trauma atau ada sebab yang lain, ” katanya.
Ruzi tidak menolak siasatan kes ini akan mengambil masa yang lama kerana mereka perlu melakukan siasatan secara terperinci. Malah, pihaknya juga perlu memeriksa sama ada suspek mengalami gangguan mental atau sebaliknya dan setiap keterangan suspek juga perlu didalami.
Terdahulu, mayat mangsa ditemui dalam bilik mandi di belakang gereja dalam keadaan ngeri dan separuh bogel serta lehernya hampir putus dipercayai dipotong dengan senjata tajam.